January 12, 2012

Kari dan variasi pertiwi


variasi pertiwi setia berbakti 



Bau kawan sedang tumis bawang. Tingkap sudah terbuka tapi masih menebar satu rumah.

"Anta masak apa ni?"

"kari"

"kari lagi?" hanya monolog. Ada benda kena simpan dari didengar orang. Ukhuwwah kena jaga juga demi kemaslahatan bersama. Tapi tak boleh nafi. Kalau masuk yang ini, minggu ini sahaja 3 kali makan kari.

Dalam tumisan, saya nampak bawang putih dan merah, buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cingkih, bunga lawang, ketumbar dan mungkin jintan. tidak beberapa jelas kerana kebanyakan dikisar halus.

Menggunakan banyak rempah ratus ini memang cara dia. kalau kawan saya yang seorang lagi, sekadar bawang dan cili sahaja.

saya teliti lagi. saya nampak sedikit kelainan

Ayam digoreng sekali dengan bawang yang sidikit kekuningan. Selepas itu, dituang bancuhan serbuk kari yang ditambah dengan air asam jawa. Akhir sekali, kentang dan tomato dimasukkan.

"eh, mana santan? tak masukkan?" sekali lagi monolog. merajuk pula nanti kalau komen banyak-banyak.

Ketika makan, saya tanya sekali lagi.

"eh.. kari ini takde santan kan?"

"yup..tapi rasa nya ok je kan?"

"emm.. betul. dan sedap. serius sedap"

"haha.. terima kasih. sedap tak sedap itu satu isu. isu paling penting kenyang tak kenyang"

"kita ni selalu je tak nampak yang besar. sibuk sangat fikir kari ke tak kari, santan tak santan ke apa ke.. dan bagi ana sendiri kualiti makanan itu bukan pada sedap tapi pada kualiti untuk mengenyangkan perut kita ni. haha"

"oh. yeke" saya hanya tersenyum sinis. apalah, ana tahulah.

"dan lain orang lain cara masak kari.. yang paling penting kita kenyang!"


Macam hidup kita. pasti ada variasi walau kita nampak sama. Dalam hidup kita perlu  faham variasi dan perbezaan orang. cara fikir, hidup, atau apa sahaja. Andai faham, insyaAllah bahagia lah kita semua.

Bukan apa, tak ramai orang yang boleh terima variasi manusia. betul tak?



Burrrp . cet, bau kari!







January 04, 2012

bau tarbiyyah


- kenangan! kekuatan! -


Hatem tertumpu kepada sebotol attar terselit dalam laci almarinya. berhabuk amat. dicium dan diamati baunya dalam-dalam. Memang sangat dalam Hatem amati bau attar tersebut. Tertutup mata dia dalam beberapa saat. Dalam dia amati.

Senyum.

Juga sangat sebak.

Baru dia teringat bau attar tersebut datang dari mana. Itu adalah hadiah ayah sewaktu mula-mula dia memasuki sekolah menengahnya. Terimbau sebentar saat pertama melangkah ke dorm, bersalaman dengan seorang senir yang sangat ramah, dibawa mengeliling sekolah turut juga terbayang kakak yang sibuk mengemas katil dan almari Hatem.

Paling ingat adalah saat ketika dia menangis menahan demam yang teramat dan terbayang wajah ibu. Memang sangat terbayang kalaulah boleh ibu ada di sisi waktu itu.

Bersendirian dengan sebotol attar sangat mengasyikkan waktu itu. Dibelek dan dipusing-pusing kan botol seolah mencari apa lagi boleh dikenang dengan botol wangi itu. sesekali dicium dan dipandang. Dicium lagi dan lagi.

oh .. bau harum itu

Saat dia ditegur oleh seorang cikgu di sekolah dahulu. Teringat dia bersembang bersama, makan bersama, pergi masjid sama-sama, dan banyak lagi sama-sama. Cikgu yang sangat kacak dan adorable sungguh. Mulut sangat manis berbicara, menutur kata satu persatu. Merancang iktikaf kami berenam untuk taaruf lebih mendalam. Sangat ringan pembawaan namun berkesan hingga hari ini.

Hatem membayang satu persatu babak dahulu. Dengan attar tolong memurnikan suasana.

Babak 10 tahun dahulu seolah jelas bermain-main atas kepala Hatem. Saat dia disapa untuk pertama kali sertai usrah dan dakwah. Diajak pergi iktikaf, duduk sebentar membaiki diri. Muhasabah bersama-sama teman. Program, Projek.

Kenangan yang menjadi sumber kekuatan untuk Hatem agar terus melangkah menjadi seorang daie yang mantap. Haruman penyegar untuk Hatem.

Jalan yang panjang perlukan kita pandang siapa kita dahulu. kenangan waktu suka dalam tarbiyyah. Muhasabah kembali saat pertama kali kita disapa oleh mas'ul untuk duduk sejenak dalam halaqah untuk berbincang menambah iman.

Ambillah seminit dua untuk bermemori sebentar kenangan manis anda. senyumlah sendiri-sendiri . dan kumpullah kekuatan dengan kenangan anda.

Akan Hatem semat haruman botol attar sepanjang hayatnya. haruman tarbiyyah.

Demi kenangan indah Hatem, anda dan kita semua, bergeraklah. :)


Selamat Tahun Baru - 2012




December 23, 2011

hero malaya harapan semua!


hero adalah penyelamat bukan setakat kuat

"dulu ana suka hulk. dia paling kuat, paling gerun, besar kot. "

"tak, tak . juggernaut paling kuat. hulk tak lah sampai pecah dinding. tak pun Thing fantastic four. cuba lawan sikit. tengok siapa paling kuat."


entah macamana, timbul isu kanak-kanak dahulu ketika sedang sarapan mee soto.

Satu ketika dahulu ultraman pernah mencetus satu evolusi. Sezaman dengan superman dan lewat sedikit muncul pula ikon goku dalam dragon ball. Berterusan zaman demi zaman dan bercambahlah koleksi hero atas muka bumi ini. Tidak tahu mengapa, banyaknya dijayakan oleh jepun dengan manga dan animenya dan amerika yang terkenal dengan marvel juga capcom nya.

Allah sahaja yang tau apa sebabnya. Mungkin berlumba menjadi penyelamat dunia terhebat sepanjang zaman. Atau Manusia sempurna dengan kuasa tiada batas? atau apa?

Manusia sejagat sudah lupa akan hero alam semesta yang asal. Hero yang membawa kestabilan kepada dunia, menyelamatkan insan dari segenap sudut, kesyumulan hingga hari akhir dunia. Kuasa keramatnya hanyalah Al-quran yang dibawa mengalahkan berjuta yang lain.

Hero dari arab ini sudah dilupakan saban hari. Dengan harapan, nama Naruto serta delegasi ninja konoha dapat memadamkan Nabi Muhammad dan sahabatnya. sama juga harapan Superman dan justice league.

Mencari hero lain selain Muhammad S.A.W memang tidak boleh. Takkan jumpa. Sekalipun musang ekor sembilan.

Namun isu paling penting adalah penerusan delegasi hero di malaysia kita.

Tuah, Jebat, Lekiu, Lekir, Kasturi. Diceritakan, merekalah hero yang menggegar nusantara dahulunya. Menjaga keamanan Melaka khabarnya.

Masalahnya mereka sudah hilang dan masalah lebih besar lagi pengganti hero ini tidak jumpa-jumpa hingga sekarang. Yang kita nantikan adalah hero yang betul-betul hero. Dengan harapan, hero yang dinanti kembali menyelamatkan Malaysia dari banyak masalah. Cukup kuat untuk mengalahkan sekularisme, liberalisme, keruntuhan akhlak dan lain-lain. Mengangkat maruah kita sebagai ummat islam kepada ummat yang terbaik di dunia

Semua kena ingat hero bukan sebarang benda. Hero bukan kacak semata. Tidak dikira hero jika tidak kuat.

Superman diangkat menjadi hero kerana peribadi yang sangat kuat. Mungkin perlukan semangat naruto, bijaksana batman, juga stamina son goku . Malah lebih lagi!

Kumpulkan kekuatan, bina peribadi kerana sudah lama sangat kita menanti hero malaya. tak sanggup nak tunggu lagi. Kalau kita biasa tengok cerita kartun, hero akan datang ketika klimaks cerita dan menunjukkan  kuasa sebenar untuk mengalahkan musuh di hadapan. Dan saya rasa sekaranglah klimaks cerita, cukuplah kefasadan di malaysia. hero malaya perlu turun sekarang.

tidak lain, hero adalah anda. yang kuat, bijaksana, lain dari orang lain, stamin tinggi, fleksibel, cekap dan yang paling penting hero yang rabbani.


sudah. hero tak boleh cakap banyak, ada panggilan :)



December 04, 2011

berkembang dan seimbang


Credit to bilal jailani.

Moga anda terus mencintai Allah, rasulnya, para pejuang agama, ibu ayah, kawan-kawan, alam semesta dan juga saya.

tiada entry pada bulan lepas adalah muhasabah besar buat saya. tak tahulah, mungkin banyak muhasabah, atau bertafakur. mungkin sibuk dengan bahan bacaan, mengejar mad'u, atau melatih berbahasa.

Atau mungkin tidak pandai mengurus masa, tiada jadual, banyak main dan sebagainya

mumkin dan mungkin.

namun mungkin masalah besar saya sekarang ini adalah tentang masalah kestabilan. tempoh untuk menstabilkan diri dan post. stabil dalam erti kata:

1) penulisan

Buat masa kini kualiti penulisan saya pada tahap boleh tahan. mampu menulis satu karangan entry dalam sehari.Perkembangan yang sihat berbanding dahulu awal menulis.

Namun tidak seiring dengan perkembangan akal dan pemikiran saya. bagi saya tiada guna.

pandai bersastera, tulisan menarik, follower yang banyak tapi isi tak seberapa dan olahan tiada kualiti serta isu yang dibawa kecil dan tiada kematangan. sangatlah tidak berguna.

kena juga belajar menyesuaikan dengan setiap entry, tak boleh kalau setiap entry terbang sangat sehingga tak nampak apa yang ingin disampaikan. Menyesuaikan bahasa dengan sebaiknya juga agar mudah difahami. Doakan saya menjadi orang yang sangat mantap dalam hal ini.

3) idea dan fikrah

Takut sangat jika terus begini bercerita tentang hal-hal yang kecil dan akhirnya tak kemana, merewang tak tentu arah. Kadang-kadang perlu berat dan juga perlu isu yang semua orang boleh faham.

Bagi saya, penulisan sangat mengesani seseorang. bagaimana Al-quran sangat mengesani para sahabat ketika dahulu. Macamana isi kandungan Al-Qur'an mengubah mereka menjadi sangat hebat. Saya perlu belajar memberatkan isi. susah namun itulah yang perlu. Tidak boleh tidak, corak fikiran saya juga mestilah lebih meninggi dari sebelum. Perlu banyak membaca lebih,lebih besar.

boleh ke?

3) Pembinaan diri
sebelum apa-apa pandang yang ini dahulu.

Boleh jadi juga, jika penulisan yang ditulis sangat hebat, akan tetapi diri yang menulis itu tidak tsiqah dan tidak mempunyai peribadi yang hebat sesuai dengan penulisannya. Pembinaan diri entah ke mana. Ini juga sebabnya saya ke Mesir. Haraplah dengan membina diri, semua yang di atas by default akan meningkat sekali. buat masa sekarang, banyak betul yang perlu diperbaiki. Moga tarbiyyah di mesir akan melajukan proses membaiki diri ini.

mudahnya, sekarang ini saya dalam proses stabilkan perkembangan antara

kualiti penulisan = diri = idea/fikrah .

Saya rasa penulisan ada kekuatan tersendiri dalam era moden sekarang ini. Masih lagi sebagai medium utama selain video, vlogging, perfileman, ceramah dan lain-lain. tulisan saya tidak lain hanyalah untuk membantu agama ini.

tak tahulah post ini sebagai apa, luahan, penjelasan atau janji, atau apa. Tapi bagi saya, biarlah post ini sebagai penambah semangat saya. berjanji dengan diri sendiri untuk terus berdakwah dalam medium ini dan menjaga entry saya agar terus maju dan pergi ke level seterusnya.

Moga diri hebat seperti Syed Qutb, Naquib al-attas, A.Aziz deraman, A.samad Said, Ahmad Ar-Rasyid, faizal tehrani dan lain-lain lagi. membakar ummat dengan pen mereka.

apa-apa pun. doakan lah saya selalu. Moga Allah bersama saya.

October 26, 2011

belajar dari Mus'ab bin umair!


susah itu sangat hebat!

sudah 2 bulan saya berada di Mesir ini. Sungguh, saya berasa amat gembira di sini. Walau baru sahaja menapak di Bumi Musa ini, banyak juga yang saya dapat. Belajar berkasih sayang bersama ikhwah yang hebat juga tarbiyyah yang sangat padu. Sangat puas hati!

tapi saya ada cerita lain. Khusus untuk entry ini. tentang saya cuba belajar menjadi Mus'ab Bin Umair.

***

Fizikalnya, Mesir adalah sebuah negara yang susah berbanding Malaysia. Kebanyakannya bergaji rendah, kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sewajarnya juga ramai yang hidup dalam melarat. Pengemis di sana sini dan sampah sarap di mana-mana.

namun tidak boleh dinafikan keistimewaan mesir dari banyak sudut yang berbeza. Pandang ke atas, Mesir juga punyai bintang tuan-tuan.

Dengan kepayahan yang ada, lebih positif jika kita katakan Mesir adalah sebuah negara 'usaha lebih' berbanding bahasa negatif seperti susah, payah, melarat dan sebagainya.

Maksudnya kesusahan yang ada, siapa yang usaha lebih akan dapat permata spesial daripada Mesir ini. Juga yang tidak berapa usaha, begitulah juga hasilnya. Kerana jujurnya 2 bulan di bumi kinanah, Mesir ini memang menuntut saya untuk 'usaha lebih'.

Boleh jadi antara sebab saya ingin ke Mesir adalah kerana susahnya. Mencuba untuk melarikan diri dari kesenangan di Malaysia. Merasai kemanisan menuntut ilmu, Belajar memahami pahit getir ilmuan ulama' dahulu dalam menuntut ilmu. memahami Qanaah dalam hidup.

Bersusah-susah. menyusahkan diri. melatih diri. bersederhana, tidak manjakan diri.

Bersusah-susah. menyusahkan diri. melatih diri. bersederhana, tidak manjakan diri seperti Mus'ab Bin Umair.

Si kaya yang kacak, berharta, anak bangsawan. tetapi akhirnya mati tidak cukup kain kafan. Seorang yang cukup rela melepaskan dunia demi dunia dan dakwah. Sanggup bersusah payah demi islam yang tercinta.

Kerana muslim sebenarnya sangat berkait dengan kesusahan. Kerana setiap dari kita adalah mujahid, sangat bersiap sedia dengan apa jua kondisi, bila-bila masa dan juga serba guna pada setiap tempat dan keadaan.

Dulu susah juga nak faham kenapa perlu bersusah-susah. Kerana dulu saya rasa tak perlu bersusah atau menyusahkan diri jika boleh memilih untuk lebih senang. Dan ya, betul. Itu memang betul. Tapi perlu difahami dan lebih penting adalah kita perlu melatih dan membiasakan diri untuk bersusah.

!اخشوشنوا فإن النعمة لا تدوم

Bersusahlah, sesungguhnya ni'mat tidak akan kekal!


Banyak lagi yang perlu dicerita tentang 'bersusah'. Saya pun tidak cerita lanjut tentang langkah praktikal untuk bersusah ini. Lagipun entri ini asalnya mahu berkongsi apa yang saya dapat 2 bulan ini. Sekali harunglah untuk anda semua mengambil manfaat.

Jadikanlah Mus'ab Bin Umair sebagai teladan terbaik dalam bersusah-susah. Doakan saya mampu tahan seperti beliau. Mula sebagai si-tampan kaya, akhir sebagai syuhada tidak cukup kain. ya Allah hebatnya.

saya amat kagum dengan orang yang susah. wallahi :)



Related Posts with Thumbnails